Wednesday, December 9, 2015

ATLET UUM TERAP PSIKOLOGI SUKAN

Oleh: Idril Harley Azizie bin 













Kebanyakan anggota masyarakat di negara ini mungkin memahami perkataan ‘psikologi’ berkait hanya dengan emosi dan tingkah laku manusia. Namun tidak ramai yang mengetahui tentang pertalian antara psikologi dan sukan. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘psikologi’ ditakrifkan sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran yang menghubungkan perlakuan manusia dan haiwan. ‘Sukan’ pula terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan contohnya pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan, dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan ketangkasan.

Atas kesedaran itu, ramai jurulatih dan pengamal sukan di negara ini lebih menyedari pentingnya psikologi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet. Namun bagi atlet-atlet UUM, kelemahan psikologi adalah satu masalah yang mereka harus tangani bagi mencapai matlamat dan seterusnya meningkatkan prestasi sukan mereka.

Psikologi adalah sebuah bidang ilmu pengetahuan dan ilmu terapan yang mempelajari mengenai perilaku dan fungsi mental manusia secara ilmiah. Ia juga berkait rapat dengan emosi, perasaan dan tingkah laku dan secara realitinya semua individu tidak suka dipaksa dalam melakukan sesuatu perkara. Ini juga menjadi isu yang dihadapi atlet-atlet UUM mengenai sikap terbuka mereka sama ada untuk menerima sesuatu yang baharu atau tidak dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, kewujudan psikologi sukan di kalangan atlet amat penting untuk memupuk sikap atlet yang matang dan professional.

Atlet-atlet di peringkat IPTA dan IPTS juga memerlukan psikologi sukan kerana prestasi mereka dipantau oleh kerajaan bagi menarik mereka atau menjadikan mereka ini sebagai pelapis atlet di Malaysia. Bagi atlet-atlet UUM, ilmu psikologi sukan ini adalah satu perkara yang baharu bagi mereka. Justeru itu, penerapan ilmu psikologi sukan kepada atlet UUM ini tepat pada masanya.

Antara cara yang berkesan bagi menerapkan ilmu psikologi sukan bagi mendidik atlet UUM adalah dengan menjalankan sesi kaunseling psikologi. Khidmat kaunseling psikologi ini boleh dilakukan kepada semua atlet UUM tidak kira bagaimana prestasi mereka. Dengan menjalankan sesi kaunseling psikologi ini atlet-atlet UUM dapat bersama dan fokus ke arah kejayaan.

Selain itu juga, pihak UUM boleh menawarkan kursus-kursus psikologi sukan untuk mahasiswa dan atlet UUM yang berminat untuk menguasai ilmu psikologi sukan. Dengan ini, mahasiswa dan atlet UUM dapat mempelajari dan mendalami ilmu psikologi sukan ini seterusnya dapat menerapkan ilmu psikologi sukan ini ketika latihan ataupun ketika bertanding di kejuaraan di serata negara. UUM juga seharusnya menambah lagi tenaga pengajar yang pakar dalam psikologi sukan ataupun dalam bidang kaunseling.

Di Akademi Golf Nasional UUM , Dr Zainuddin Omar adalah pakar psikologi sukan dan kaunseling bagi atlet atlet AGN. Dengan usaha itu, pelajar atau atlet di AGN menjadi lebih fokus dan komited dalam mencapai matlamat mereka di pertandingan terbuka yang mereka sertai di seluruh negara. Ini adalah antara contoh yang perlu diikuti Pusat Sukan UUM bagi meningkatkan lagi prestasi atlet-atlet UUM.

Psikologi sukan merupakan antara faktor terpenting bagi atlet-atlet untuk meningkatkan pretasi mereka dari masa ke semasa. Penerapan psikologi sukan ini dapat menjadikan atlet-atlet sukan di negara ini lebih berdaya saing dan mencapai matlamat Malaysia. Kehebatan sebenar atlet adalah terletak di daya fikiran seseorang atlet itu dalam mengawal permainan mereka jadi psikologi sukan amat penting kerana ia mengawal emosi, pemikiran dan tekanan seseorang atlet tersebut. Majulah sukan untuk negara.


Dr. Zainuddin Omar sedang menjalankan sesi kaunseling psikologi sukan kepada seorang atlet AGN disertai oleh jurulatih dan rakan sepasukan.

 Penerangan dari pegawai ISN tentang psikologi sukan kepada pelawat yang hadir.

No comments:

Post a Comment