Saturday, December 12, 2015

Sukan Dan Rekreasi di UUM Menjadi Tarikan

Oleh : Mohamad Solhi Bin Aidi














UUM SINTOK : UUM kini menjadi tarikan di mana universiti ini menyediakan kemudahan dan fasiliti yang menarik melalui sukan dan rekreasi. Apa yang menarik perhatian ramai adalah kemudahan-kemudahan sukan yang disediakan datangnya daripada sukan-sukan yang terpilih dan yang terkenal di peringkat antarabangsa. Antaranya adalah Pusat Ekuin, Kolam Renang, Litar Go-Kart, Padang Golf dan Lapang Sasar Memanah.

Litar Go-Kart UUM merupakan yang pertama di dunia dibina dalam kampus. Uniknya Litar Go-Kart UUM yang dibina melawan pusingan jam merupakan litar keempat dibina seumpama itu di dunia serta mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Automobil Malaysia.

Semua pelajar boleh menyertainya dengan caj bayaran RM5 untuk 5 pusingan. Orang luar yang berminat juga boleh menyertainya dengan caj bayaran RM30 untuk 5 pusingan.

Selain itu, UUM mempunyai Padang Golf sebanyak 9 lubang. UUM telah dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Golf  oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Kini proses menaik taraf Padang Golf UUM dari 9 lubang kepada 18 lubang dilakukan dan dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi. 

Terkini terdapat program baru yang ditawarkan oleh UUM kepada atlet sukan golf untuk kursus teori dan latihan di kampus UUM. Antara kemudahan yang disediakan ialah 'buggy track' dan 'halfway drinking hut'. Padang golf ini juga mempunyai 'driving range' berbumbung dan sebuah rumah kelab berserta 'coffee house'.

Apa yang membuat kampus ini lebih menarik adalah Pusat Ekuin yang merupakan Prasarana Sukan UUM Bertaraf Dunia. Ia menjadi salah satu aktiviti Ko-Kurikulum yang baru di kampus ini. Pusat Ekuin UUM ditubuhkan pada tahun 2008 untuk aktiviti sukan berkuda. 

UUM telah menyediakan  lapan ekor kuda bagi memberi peluang kepada pelajar dalam sukan berkuda ini. Pengarah Pusat Sukan, Shafferi Rejab menyerahkan dokumen Pusat Ekuin secara rasmi kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Dr. Ahmadasri Alaudin, baru-baru ini. Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, penyerahan tugas itu bagi membolehkan pihak HEP menyelaraskan Pusat Ekuin untuk aktiviti pelajar.

“Penyerahan Pusat Ekuin yang pada asalnya di bawah tanggungjawab Pusat Sukan kepada HEP ini bagi menjadikan aktiviti berkuda sebagai sebahagian daripada aktiviti mahasiswa.

Dalam erti kata lain untuk mengubah supaya mahasiswa boleh mengurus penjagaan kuda, mengadakan aktiviti untuk orang luar dan mahasiswa universiti sendiri agar mereka lebih meminati aktiviti ini sebagai satu sukan yang disukai Nabi Muhammad S.A.W.

Selain itu juga untuk menggalakkan keusahawanan rekreasi sebab sekarang ini ramai mahasiswa yang berkecimpung dalam perniagaan kedai runcit, alat tulis dan buka kedai fotostat,” katanya.

Menurutnya lagi UUM dalam perancangan untuk terlibat dalam pertandingan sukan berkuda sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat kebangsaan namun perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh dari pelbagai aspek termasuk dari tenaga pakar.  

Dengan adanya prasarana yang disediakan Universiti ini dapat melahirkan pelajar yang aktif serta berkualiti selain berjaya dalam bidang akademik. 

Mahasiswa juga turut diberi peluang untuk menyerlahkan bakat mereka dalam bidang sukan ini sekaligus dapat memanfaatkan prasarana yang disediakan oleh pihak universiti.

Namun begitu, terdapat juga pelbagai prasarana lain seperti kolam renang bersaiz olimpik. Mahasiswa mahupun mahasiswi boleh datang ke kolam ini pada hari yang telah ditetapkan. Pelajar dikehendaki memakai pakaian renang bagi tujuan keselamatan. 

Universiti Utara Malaysia juga menyediakan lapangan sasar memanah. Sukan ini juga menjadi salah satu pembelajaran kokurikulum di dalam kampus. Pelajar-pelajar di beri peluang untuk mempamerkan bakat dan bermain di dalam kampus.

Natijahnya, sukan dan rekreasi di UUM menjadi satu tarikan yang di pandang serius oleh orang ramai. Pelbagai kebaikan dan manfaat yang boleh kita perolehi dan hal ini membolehkan UUM melahirkan pelajar-pelajar yang aktif dalam sukan di samping mendapat keputusan yang cemerlang di dalam akademik.





Padang Golf lengkap dengan 'buggy track' dan 'halfway drinking hut'       


 Litar sepanjang 1.2km dengan lebar semaksimum 13 meter dan minimum 8 meter


Kolam renang yang berada di Pusat Sukan UUM



Pusat Ekuin Universiti Utara Malaysia


Lapang sasar yang terletak berhampiran Pusat Ko-k

No comments:

Post a Comment