Monday, December 14, 2015

KARNIVAL ISLAM DAN KEUSAHAWANAN UNIVERSITI UTARA MALAYSIA(UUM)

Oleh: Muhammad Khidir Bin Md Azmi














SINTOK 23- Mei, Karnival Islam dan Keusahawanan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung baru-baru ini di Perkarangan Masjid Sultan Badlishah, UUM mampu melahirkan mahasiswa yang seimbang serta memberi pendedahan mengenai ilmu keusahawanan kepada mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, karnival tersebut dapat memberi dimensi baharu yang lebih segar mengenai Islam dengan memberi ilmu pengetahuan dan kefahaman menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Program kerohanian sebegini sangat penting kerana kita mahu mahasiswa mendekatkan diri dengan amalan kerohanian dan keagamaan kerana terdapat banyak salah faham dan salah tafsir mengenai Islam sejak kebelakangan ini,” katanya dalam majlis perasmian karnival tersebut baru-baru ini.

Bertemakan ‘Jom Ke Masjid’, karnival berbentuk pameran dan jualan langsung (bazaar selebriti dan vendor) daripada usahawan itu dianjurkan dengan kerjasama GAT Management Sdn. Bhd. dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM digarap sebagai alternatif kepada para belia bagi mengisi masa lapang.

Karnival itu juga menjadi medan bagi mengasah bakat serta mempraktikkan ilmu keusahawanan para pelajar dan selebriti disamping bertukar-tukar pandangan, berkongsi pengalaman dengan usahawan untuk memotivasikan diri serta meningkatkan lagi prestasi ke arah kecemerlangan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP UUM, Mohd. Ali Faiz Salleh berkata, program yang pertama kali dianjurkan MPP UUM itu diharap dapat mengeratkan silaturahim di kalangan mahasiswa.

“Tema karnival ini iaitu ‘Jom Ke Masjid’ diharap boleh menjadi pencetus kepada mahabbah iaitu kasih sayang kerana masjid adalah tempat tumpuan dan penyatuan umat Islam.

“Ia juga selaras dengan salah satu dasar MPP untuk mengimarahkan program dan aktiviti yang dijalankan di masjid,” ujarnya.

Selain gerai jualan, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang karnival berlangsung antaranya forum perdana, malam untuk Gaza dan lain-lain lagi.

Dengan adanya program karnival islam dan keusahawanan ini dapat memupuk semangat mahasiswa dan mahasiswi  kearah menimba pengalaman dan ilmu dengan lebih mendalam.

Selain itu,pelajar akan memperolehi banyak manfaat dengan turut serta program yang dianjurkan oleh pihak uum.Program ini juga bertujuan untuk menarik minat  pelajar terhadap program yang dianjurkan.Ianya juga akan memberi impak besar pada pelajar dari segi kepentingan supaya mendalami tentang agama islam dan juga ilmu tentang keusahawanan.

Dengan itu,para pelajar dapat bertukar pandangan kearah untuk lebih memajukan diri menjadi seorang usahawan yang berjaya.




Gambar ketika Timbalan Naib Canselor merasmikan majlis pembukaan Karnival Islam dan Keusahawanan. 

No comments:

Post a Comment