Wednesday, December 9, 2015

FASILITI UUM BERTARAF DUNIA

Oleh: Muhammad Irfan Harraz bin Razanan













UUM SINTOK: Ramai yang berfikiran bahawa kehidupan di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terletak jauh di pendalaman tidak menyeronokkan lebih-lebih lagi bagi seorang mahasiswa. Tahukah anda bahawa di UUM terdapat banyak kemudahan infrastruktur sukan bertaraf dunia yang tidak terdapat di mana-mana university lain.

Kehidupan di pedalaman bukanlah penghalang bagi mahasiswa di UUM untuk menggunakan semua masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah malahan kehidupan di bumi yang indah ini mendidik seorang mahasiswa untuk jauh dari segala gejala sosial yang boleh merosakkan akhlak dan sahsiah mereka. Justeru itu UUM telah menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti Litar Go-Kart, Pusat Ekuin, Kolam Renang, Padang Golf, Lapang Sasar Memanah, Padang Bola, Gelanggang Tenis dan Badminton serta Gelanggang Bola Tampar.

UUM merupakan universiti pertama di dunia yang mempunyai litar Go-Kart sendiri di dalam kampus. Litar Go-Kart UUM ini merupakan litar yang sangat unik dan menarik kerana ia merupakan litar keempat di dalam dunia yang dibina melawan arah jam. Litar Go-Kart ini turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Automobil Malaysia kerana mencapai tahap keselamatan dan taraf yang ditetapkan oleh persekutuan ini. Bayaran RM5 dikenakan bagi setiap pelajar yang ingin mencubanya manakala RM30 dikenakan bagi pengunjung luar yang berminat dengan permainan Go-Kart ini. Litar Go-Kart di UUM ini juga turut menganjurkan banyak pertandingan Go-Kart di peringkat kebangsaan dan disertai oleh pelumba-pelumba dari seluruh negara.


     Litar Go-Kart sepanjang 1.2km di Universiti Utara Malaysia


Selain itu , UUM juga mempunyai Pusat Ekuin yang bertaraf dunia dan menawarkan banyak kursus serta aktiviti ekuin untuk semua mahasiswa dan masyarakat luar. Program ekuin ini juga merupakan salah satu aktiviti Ko-Kurikulum yang baru ditubuhkan untuk menarik minat pelajar agar mereka boleh mencuba aktivti berkuda yang jarang boleh dicuba di luar sana. Sukan berkuda bukan lagi untuk golongan berada apabila kita berada di UUM. Semua pelajar boleh mencuba dan menyerlahkan bakat mereka dalam sukan berkuda ini. Peluang yang disediakan oleh pihak universiti ini haruslah diambil agar sukan berkuda di Malaysia semakin maju secara tidak langsung melahirkan penunggang kuda yang boleh mewakili negara pada masa hadapan.


Pusat Ekuin Universiti Utara Malaysia Bertaraf Dunia

Tambahan lagi UUM mempunyai Kolam Renang yang bertaraf olimpik dan merupakan antara kemudahan sukan yang tidak terdapat di universiti lain. Kolam renang yang terletak di dalam Pusat Sukan UUM menjadi tarikan utama bagi pelajar UUM dan pengunjung luar pada setiap hari. Bagi pelajar wanita, kolam renang ini dibuka pada setiap hari Ahad manakala pada pelajar lelakikolam renang dibuka pada setiap hari Rabu.. Pada setiap hujung minggu, kolam renang menjadi tumpuan staf dan pekerja di UUM untuk membawa anak-anak mereka berkunjung ke sini untuk meluangkan masa bersama keluarga. Atlet renang UUM menggunakan prasarana ini untuk berlatih pada setiap hari agar mereka boleh meningkatkan prestasi mereka dari masa ke semasa.


Kolam Renang Bertaraf Olimpik UUM

Di UUM juga terdapat padang golf sembilan lubang yang diurus oleh Kelab Golf dan Rekreasi UUM. Padang golf ini sedang dinaik taraf kepada 18 lubang dan masih dalam proses penyiapan. Padang golf ini dibuka kepada semua staf, pelajar dan pengunjung yang berminat untuk menceburi sukan golf. UUM telah terpilih untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Sukan bagi sukan golf dengan penubuhan Akademi Golf Nasional. Semua atlet golf di UUM menjadikan prasarana yang disediakan oleh pihak universiti ini untuk berlatih pada setiap hari. Kelab Golf UUM turut menganjurkan banyak pertandingan bagi semua ahli kelab dan staf-staf di UUM. Antara kejohanan yang dianjurkan ialah seperti Sintok Master dan Piala Bendahari pada setiap tahun.


Kelab Golf dan Rekreasi UUM

Semua mahasiswa haruslah menggunakan semua kemudahan infrastruktur yang disediakan di UUM dengan sebaik mungkin. Mereka boleh mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti sukan yang menyeronokkan bersama kawan-kawan secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara pelajar di UUM. Selain itu juga, kemudahan-kemudahan sukan bertaraf dunia ini boleh digunakan oleh masyarakat luar terutamanya masyarakat di sekitar UUM.

No comments:

Post a Comment