Saturday, December 12, 2015

TIGA PELAJAR ATLET GOLF UUM KE UNVERSIADE DI GWANGJU, KOREA

Oleh: Muhammad Afif Bin Muhammad Razif 













SINTOK
 - Tiga pelajar atlet golf daripada Akademi Golf Nasional, Universiti Utara Malaysia (UUMNGA) terpilih untuk mewakili negara ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan pada 3 hingga 14 Julai 2015 yang lalu. Tiga pelajar atlet daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) tersebut iaitu Muhammad Afif Muhammad Razif, 20, Amirul Aizat Abdul Bahar, 22, dan Hilferah Tan, 24, telah terpilih selepas masing-masing memenangi tempat pertama hingga ketiga kategori pukulan gross pada Kejohanan Golf Institusi Pengajian Tinggi (Piala IPT) 2015 di Kelab Golf Amverton Cove & Island Resort pada bulan Mei yang lalu.

Seramai lebih 80 peserta yang mewakili daripada pelbagai IPT awam dan swasta dari seleruh negara menyertai dalam pertandingan ini yang diadakan selama tiga hari kejohanan tersebut.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak mahu semua atlet negara memberikan persembahan terbaik bagi memburu pingat selain menaikkan nama universiti, kementerian dan juga negara. "Universiade kali ini berlangsung pada bulan Ramadhan dan saya berharap atlet dapat menjaga pemakanan dan kesihatan dengan baik supaya dapat mengekalkan tahap stamina yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada majlis penyerahan bendera kepada atlet UUM yang lalu. Menurutnya, pemilihan ke Universiade itu berdasarkan pencapaian terbaik atlet pada Kejohanan Golf Piala IPT pada Mei lepas yang melayakkan mereka terpilih secara merit untuk mewakili Malaysia ke Gwangju, di Korea Selatan.

Muhammad Afif Bin Muhammad Razif yang juga penyandang juara bagi kategori gross lelaki individu mencatatkan satu diatas par dengan jumlah 217 pukulan keseluruhan dalam sepanjang tiga hari kejohanan tersebut yang berlansung di Kelab Golf Amverton Cove, Klang.

“Tahap permainan saya pada pada bulan Mei lepas agak memuaskan dan dapat meningkatkan keyakinan untuk mencapai matlamat pada kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang. Ini juga menaikkan semangat saya untuk beraksi lebih cemerlang pada temasya sukan universiti dunia nanti kerana semua pemain berpeluang untuk menang merebut pingat. Bagi kejohanan di Gwangju, Korea ini, saya meletakkan sasaran untuk meraih pingat,” katanya ketika ditemuduga.

Dalam pada masa itu, Pengurus pasukan golf negara, Prof. Madya Dr. Azman Yasin juga ke Universiade berkata tiga pemain berkenaan akan bersama tiga lagi pemain lain yang disenaraikan lebih awal sebelum ini yang akan juga mewakili negara dalam acara golf di temasya itu. Katanya mereka adalah Chan Tuck Soon selain daripada dua pemain wanita iaitu Nur Durriyah Damian dan Loy Hee Yin.

“Sasaran saya pada kejohanan itu adalah untuk mendapatkan pingat. Justeru itu, latihan pusat perlu diadakan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum bertolak ke kejohanan di Gwangju tersebut. Pasukan golf negara perlu menjalani latihan intensif ini bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran yang lebih sengit dalam kejohanan itu” katanya yang juga Pengarah Akademi Golf Nasional UUM semasa ditemui selepas berlansungnya pertandingan Piala IPT Mei lalu. 


Info
Pemenang Kejohanan Piala IPT :
•      Lelaki Individu Gross : Muhammad Afif Bin Muhammad Razif (UUM)
•      Wanita Individu Gross : Hillferah Tan (UUM)
•      Lelaki Berpasukan Gross : Muhammad Afif Bin Muhammad Razif & Shakiran Johari (UUM)
•      Wanita Berpasukan Gross : Hillferah Tan & Nurul Syahirah Afiqah (UUM)
•      Lelaki Berpasukan Nett : Mohd Asyraf Ahmad & Mohd Lokman (UiTM)
•      Wanita Berpasukan Nett : Nurul Athirah Abdullah & Ardilla Ali Rahman (UUM)
•        Juara keseluruhan : Universiti Utara Malaysia (UUM)



Majlis penyerahan bendera kepada kontinjen UUM 


Juara individu lelaki dan wanita

No comments:

Post a Comment